'Jerami Icon' burung hantu antara tarikan PAT 2023 - Sinar Harian
Pertandingan Jerami Ikon dan 'Pagar Sesat' diserbu oleh pengunjung pada Pesta Angin Timur Perlis yang diadakan selama tiga hari di Kampung Sungai Padang di sini. - Foto: Bernama
ARAU - ‘Jerami Icon’ yang mempamerkan arca jerami padi berupa burung hantu antara tarikan Pesta Angin Timur Perlis 2023 (PAT 2023) yang membuka tirainya bermula hari ini hingga Ahad ini di Kampung Sungai Padang di sini.
Tinjauan mendapati ruangan gulungan jerami disediakan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pada hari pertama pesta itu berlangsung.
Pegawai MADA Wilayah 1 Perlis, Mohamad Hafifi Syauki Md Saad berkata, arca jerami burung hantu itu diperkenalkan pihaknya sebagai ‘Burhan’ atau singkatan daripada burung hantu iaitu burung berkenaan satu daripada ejen kawalan biologi dalam tanaman padi untuk mengawal populasi tikus sawah.
"Kita terapkan burung hantu itu sendiri dalam bentuk binaan arca ini untuk menarik pengunjung mendekati ‘Jerami Icon’ (bagi mengunjungi PAT 2023). Saiz arca burung hantu yang dibuat pihak MADA ini, anggaran saya tingginya hampir 15 kaki (4.57 meter) manakala lebar pulak kira-kira lapan kaki (2.4 meter),” katanya pada Jumaat.
Binaan arca Perigi atau dikenali penduduk setempat sebagai 'Telaga' seluas dua meter menjadi pilihan Persatuan ATV Bintong. - Foto: Bernama
Mohamad Hafifi Syauki berkata, pihaknya menggunakan 89 gulung jerami bagi membentuk kawasan ‘berpagar’ yang di dalamnya terdapat dangau dan beberapa lagi arca jerami lain antaranya berbentuk seperti anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melakukan sekatan jalan raya.
"Kelainan kita tampilkan ialah kita menggunakan konsep ‘pagar sesat’, jadi kalau kita menyusuri dalam ‘Jerami Icon’ ini sendiri, kita akan nampak seperti ada ‘pagar sesat’ tak ada jalan... di samping itu pengisian di dalam ‘Jerami Icon’ ada dangau yang dibina Persatuan Pelukis Negeri Perlis dengan kerjasama pihak MADA,” katanya.
Beliau berkata, arca jerami yang terdapat di dalam kawasan dikelilingi gulungan jerami padi itu dibuat oleh enam agensi kerajaan di Perlis antaranya seperti Kolej Komuniti Arau, JPJ dan Jabatan Perhutanan negeri yang menyertai pertandingan membentuk arca itu.
"Kita berikan setiap agensi ini lima petak jerami padi untuk mereka membuat arca masing-masing,” katanya dengan menambah pengunjung dewasa dikenakan bayaran RM1 manakala percuma bagi kanak-kanak berusia bawah enam tahun untuk memasuki kawasan itu.
Dalam pada itu, Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Wan Norazween Wan Su berkata, Bernama juga tidak melepaskan peluang memeriahkan pesta tersebut dengan membuka reruai di situ di samping menjadi media rasmi bagi PAT 2023.
"Bernama mendapat jemputan kali pertama membuka ‘booth’ (reruai) di Pesta Angin Timur ini daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Di sini kita juga mengadakan Kempen Jom Kenali Bernama, kempen ini dilaksanakan sejak tahun lepas,” katanya.
Wan Norazween berkata, pelaksanaan kempen itu di PAT 2023 juga menjurus kepada promosi digital aplikasi Bernama selain mendekati pengunjung melalui aktiviti santai seperti permainan dalam talian serta tekan butang ‘suka’ (like) dan ‘ikuti’ (follow) dan ‘kongsi’ (share) media sosial Bernama. - Bernama